
Selapas rakan baik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S Nallakarupan mencabarnya, kini giliran Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Rafidah Aziz pula berbuat demikian.
Jika Nalakaruppan cabar Anwar membuktikan jasa beliau membela nasib kaum India semasa berada di dalam kerajaan, Rafidah pula cabar Anwar bertanding di Kuala Kangsar untuk ‘bertembung’ dengan beliau.
Menurut Rafidah, beliau ada mendengar Anwar berhasrat bertanding di Parlimen Kuala Kangsar dan beliau sedia untuk bertemu dengan bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ‘‘Saya dengar Anwar Ibrahim hendak bertanding mencabar saya, jadi, selamat datanglah,” kata Ketua Pergerakan Wanita UMNO itu semasa berucap merasmikan dialog bersama Badan-Badan Ekonomi Melayu anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Putrajaya, hari Selasa.
Berita sebelum ini... Bekas rakan karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk S Nallakarupan Isnin tampil dengan satu kenyataan media mencabar Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu menghuraikan apa yang beliau buat bagi manfaat kaum India di negara ini sewaktu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Nallakarupan yang meninggal PKR dan kini mengetuai Malaysian Indian United Party berkata hasil persahabatan selama 30 tahun beliau tahu sangat bagaimana Anwar melayan masyarakat India. “Saya tahu dia berbohong kepada masyarakat India sekarang,cuma untuk memancing undi,”katanya.
Sewaktu roadshow nya di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini dalam ceramahnya di berbagai tempat Anwar meminta masyarakat India supaya tidak lagi mengundi Barisan Nasional sebaliknya menyokong PKR.
Kata Nallakarupan beliau merasa pelik bagaimana Anwar boleh mendakwa kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk masyarakat India. “Lebih pelik beliau mendakwa partinya akan menjamin masyarakat India tidak akan dipinggirkan sekiranya beliau berkuasa,”katanya.
Nallakarupan menasihatkan masyarakat India agar tidak terpedaya dengan janji Anwar itu. |